Wednesday, September 5, 2012

Cabut Gigi Lagi

Setelah lebih 2 bulan menghidap sakit gigi, akhirnya aku cabut jua gigi geraham yang berlubang itu. Sebenarnya aku nak cabut dua bulan lalu tapi ditangguhkan dulu kerana Ramadhan hampir tiba waktu itu. Dua tiga hari ni, aku memang dah tak boleh nak tidur sebab gigi geraham ni terlalu sakit. Terpaksa kunyah panadol atau ubat tahan sakit setiap malam untuk melegakan kesakitan. Sepanjang aku mengalami masalah sakit gigi ni, aku tak nafikan waktu tidur aku terganggu selain tak dapat nak mengawal air liur. Aku harap takde yang tengah makan semasa baca entri aku ni. Takut kembang tekak je bila membayangkan air liur yang meleleh. Hahaha. Tapi serius tak tipu, memang sukar nak kawal air liur sebab gigi dah sakit. Nak dapat tidur yang berkualiti tu memang lah jarang sekali.

Tadi, aku pergi ke Klinik Gigi Taman Universiti. Aku pernah buat entri mengenai pengalaman pertama aku ke sini. Kalau nak baca, feel free untuk ke SINI. Kali ni, aku datang untuk cabut gigi geraham aku yang berlubang. Sebelum ni aku cabut dengan doktor perempuan wanita. Dr. Rozita. Tadi, masa kat kaunter, aku tanya adik kat kaunter tu, harini doktor siapa? Dia jawab Dr. Chia. Aku tanya lelaki ke perempuan. Dia jawab lelaki. Sebenarnya doktor nya ada kat kaunter tu jugak. Mana lah aku kenal kan. Aku perasan bila adik tu sebut Doktor. Haha. Senyum dalam hati je la.

Masuk je bilik doktor, aku terus baring. Kali ni aku dapat doktor gigi lelaki. Malu sebenarnya sebab dia lelaki. Aku kan pemalu. Oh lupa nak bagitahu. Nama doktor tu Dr. Chia Lee Boon. Hensem orangnya. Bila dia check gigi sempat la aku belek-belek muka dia. Hahaha. Dia check semua gigi aku. Ada satu gigi susu kat tempat gigi taring. Gigi susu tu tak patah lagi. So, gigi taring aku tumbuh kat tempat lain. Kalau nak tarik semula kena guna braces. Huhuhu. Aku dah terbayang kesakitan yang bakal dialami bila guna braces untuk gerakkan taring ke tempat yang betul. Mesti besi diikat ketat sampai boleh bawak demam. *tutup mata*

Mula-mula doktor inject ubat kebas. Bibir dengan pipi aku dah tak rasa. Dia try tekan gigi aku pakai tools dan tanya sakit ke tak. Aku kata sakit sikit. Dia inject lagi ubat kebas. Jarum injection tu sangat panjang ok. Aku tak tipu. Bila rasa nervous je, aku terus tutup mata dan membayangkan muka lelaki yang aku sayang. Ok tipu. Aku tak boleh nak fikir dah masa tu. Lepas beberapa minit, dia mula cuba cabut gigi aku. Bila dia tarik, rasa sakit. So, terpaksa tunggu beberapa minit lagi. Untuk kali keduanya, gigi aku cuba dicabut. Masa dia tarik tu, memang sakit. Aku pejam mata rapat-rapat dan mata aku dah berair sebenarnya. Bila dah goyang, dia ada guna satu tool untuk cengkam dan tarik gigi tu. Masya Allah, memang rasa jugak lah sakitnya walaupun dah inject ubat kebas.

Masa dah cabut tu, aku bukak mata dan terpandang gigi tu. Pening kejap sebab gigi tu besar. Gigi dan akarnya adalah dalam 3-4cm. Doktor terus letak ubat dan sumbat kapas. Terharu bila doktor lap pipi aku dengan kapas basah. Walaupun pipi aku kebas, tapi masih terasa kelembutan kapas yang dilap oleh doktor. Hahaha. Bila dah selesai, aku mintak gigi aku untuk dibawa pulang. Nanti aku upload gambar giginya. Terima kasih Dr. Chia. Kos cabut gigi aku harini adalah RM110. Kawan aku cakap gigi aku yang dicabut itu cantik dan tak patah. Maksudnya, Dr. Chia berjaya cabut gigi aku dalam keadaan gigi aku sempurna. Kalau tak sempurna mungkin ada gigi yang patah separuh semasa proses cabut gigi la kot?

Balik je rumah aku terus kemam ais sebab doktor suruh makan benda sejuk sahaja. Kalau makan benda panas akan menyebabkan darah lambat beku. Makan ubat dan terus tidur sampai ke petang. Lepas cabut gigi, aku terus pening dan badan panas. Amik kau. Nak cabut gigi sampai demam. Semoga tidur aku lebih lena selepas ini. Harap aku dah tak ada masalah gigi la lepas ni. Umur dah nak masuk 25 pun sakit gigi lagi. Hahaha. Dah takdir. Kena la redha.

1 comment:

Unknown said...

Sorry, nak tanyaa. Gigi susu awak still ada smpai skarang ke ? Doktor tak suruh cabut ke ?